Kembara Kasih

Daisypath Anniversary tickers

Sunday, February 28, 2010

Horas – Siri 3 (15-02-2010)



































Kami diminta untuk turun sarapan pada jam 8.00 pagi dan terus memuatkan barang-barang ke dalam bas kerana kami akan dibawa ke Pulau Samosir sebaik selesai sarapan. Sekembali dari pulau, kami akan terus dibawa ke destinasi seterusnya iaitu Berastagi yang turut memakan masa selama 4 jam.

Usai sarapan pagi, kami ambil peluang untuk bergambar berlatar belakangkan Tasik Toba memandangkan kami akan terus check out selepas selesai sesi lawatan ke Pulau Samosir.

Kami kemudian dibawa oleh Pak Untung menuju ke jeti untuk menaiki bot yang telah sedia menunggu untuk membawa kami ke Pulau Samosir. Sungguh menyeronokkan apabila bot tersebut hanya dikhususkan kepada kami sahaja sepanjang lawatan tersebut.

Perjalanan dijangka akan memakan masa selama 50 minit menuju ke Pulau Samosir. Di sana, kami akan dibawa melawat 2 buah kampung iaitu Kampung Ambarita dan Kampung Tomok. Bagi menghilangkan kebosanan sepanjang perjalanan, 2 orang remaja menyertai kami dan menyampaikan beberapa lagu untuk menghiburkan kami. Memang tidak dapat dinafikan kedua-duanya mempunyai vocal yang baik dan mampu menghiburkan kami. Anak-anak kecil pula seronok berlari ke sana ke mari di dalam bot, lagak seperti bot sendiri kerana hanya ada kami sahaja dalam bot tersebut. Biarkanlah, asalkan mereka bahagia dan seronok menikmati keindahan alam dan mengenali kehidupan di Negara orang.

Sebaik selesai mendendangkan lagu, salah seorang daripada remaja tersebut menghampiri kami untuk meminta sumbangan atas persembahan yang telah disampaikan. Namun rasanya berbaloi menyumbangkan sedikit upah kepada mereka kerana persembahan yang diberikan sungguh menghiburkan.

Persinggahan kami yang pertama adalah di Kampung Ambarita. Untuk penjimatan masa, Pak Untung mengingatkan agar dibuat lawatan terlebih dahulu sebelum membeli-belah di sepanjang deretan kedai yang ada di sepanjang laluan. Di sini, kami dibawa melawat sebuah kerajaan tempatan yang wujud suatu masa dahulu. Kelihatan deretan rumah-rumah yang didiami oleh kaum Batak sejak dari dahulu. Menurut Pak Untung, antara sebab bentuk atap rumah kaum Batak seperti perahu adalah kerana nenek moyang kaum Batak adalah pengembara dan gemar untuk merantau. Maka kesungguhan itu diterjemahkan kepada bentuk rumah yang didiami. Di situ juga kami ditunjukkan kerusi batu yang disusun seperti meja persidangan iaitu tempat di mana raja berbincang dengan pembantunya dalam urusan pentadbiran di samping dalam soal menjatuhkan hukuman kepada pesalah. Di sebelah meja persidangan tersebut, terdapat sepohon pokok yang dianggap suci dan mampu memakbulkan hajat kepada sesiapa yang menyentuhnya. Ternyata amalan-amalan tersebut adalah khurafat dan membawa kepada syirik.

Seterusnya kami dibawa melihat tempat penjatuhan hukuman pancung kepada pesalah. Tempat tersebut adalah tempat asal yang digunakan untuk memancung pesalah-pesalah yang telah dijatuhkan hukuman oleh raja dan pembantu-pembantu di meja persidangan.

Sebelum bertolak ke persinggahan seterusnya, kami diberi masa membeli-belah jika ada yang berkenan tetapi perlu diambil perhatian bahawa peniaga di sana amat menggemari pengunjung dari Malaysia dan mereka akan mengenakan harga yang tinggi. Justeru, kami perlu pandai menawar harga ke paras minimum atau berdepan dengan penipuan. Malah, jika penawaran sudah dibuat dan kita menolak untuk membelinya, mereka akan memarahi dan mengekori kita sehingga ke jeti. Bagaimanapun, oleh kerana kami berada dalam jumlah yang ramai dan ditemani oleh Pak Untung, kami merasa selamat dan hanya mendiamkan diri apabila didesak oleh mereka untuk membeli barang-barang yang dijual. Lagipun kami telah diingatkan oleh Pak Untung tentang sikap kaum Batak yang terkenal dengan agresif dan tegas.

Persinggahan kami yang seterusnya adalah Kampung Tomok. Menurut Pak Untung, tomok adalah bahasa kaum Batak yang bermaksud gemuk atau sihat. Tiba di jeti, satu fenomena biasa apabila melihat kaum wanita mandi-manda di tepi tasik persis suasana di Malaysia sebelum membangun. Kami dibawa melawat sebuah kawasan perkuburan lama yang menempatkan makam diraja sebuah lagi kerajaan tempatan iaitu keturunan Sidabutar. Sebagai menghormati adat di situ, kami diminta memakai sehelai selendang dan diselempang di bahu sepanjang berada di kawasan makam tersebut. Memang agak janggal dan seram berada di sebuah perkuburan lama tetapi niat kami adalah untuk mengenali dan memahami budaya serta amalan sesebuah kaum di Negara lain. Semoga dengan itu akan membuat kami lebih menghargai dan menyanjung agama Islam suci yang dianuti. Pelbagai kisah dan sejarah disampaikan oleh Pak Untung kepada kami mengenai kewujudan kubur tersebut. Oleh kerana mereka tidak mempunyai sebarang agama sebaliknya percaya kepada roh nenek moyang, mereka menyimpan tulang temulang nenek moyang mereka di dalam keranda batu tersebut.

Selesai lawatan, acara wajib adalah membeli-belah. Ternyata kemahiran menawar maksima amat diperlukan kerana silap haribulan kita akan terpedaya dengan kata-kata mereka. Penat membeli-belah, kami berpatah balik menuju ke jeti untuk kembali ke pekan Parapat dan meneruskan perjalanan. Walau bagaimanapun, berlaku satu insiden yang agak mencemaskan apabila To’Ki dan To’Wan telah terpisah daripada kumpulan apabila leka membeli di sebuah gerai. Akibatnya, mereka tersesat ke laluan lain dan memakan masa yang lama untuk tiba di jeti. Pun begitu, penduduk di situ tidaklah sejahat yang disangka dan seperti yang didengar melalui cerita-cerita tentang kaum Batak sebelum ini. Mereka hanya menegur To’Ki dan To’Wan untuk menawarkan perkhidmatan sewa motosikal yang disediakan oleh mereka kerana kenderaan tersebut antara pengangkutan utama di pulau tersebut. To’Ki dan To’Wan hanya menemui jalan sepatutnya apabila melihat ramai orang keluar-masuk lorong tersebut dan menemui kami di sebuah kedai bersebelahan jeti.

Perjalanan pulang ke Pekan Parapat terasa singkat dan bas telah sedia menunggu di jeti untuk membawa kami makan tengah hari dan solat. Kami dihidangkan dengan ikan yang diperoleh daripada Tasik Toba dan beberapa lauk lain yang juga turut berkonsepkan minang. Usai makan tengah hari, kami bergerak menuju ke sebuah masjid (Masjid Raya Taqwa Parapat) yang terletak di seberang jalan untuk menunaikan solat Jama’ Zuhur dan Asar.

Dalam perjalanan menuju Berastagi, kami dijadual akan berhenti di 3 buah lokasi objek wisata iaitu Bukit Simarjarunjung, Air Terjun Sipisopiso dan sebuah ladang limau. Sebelum tiba ke lokasi persinggahan pertama, di sepanjang perjalanan, kami dapat menikmati keindahan Tasik Toba yang melaut dan sungguh indah. Subhanallah!

Sepanjang perjalanan sebelum tiba di lokasi persinggahan pertama juga dipenuhi dengan keindahan pokok-pokok Pines seakan-akan berada di negara Eropah.

Persinggahan pertama adalah di Bukit Simarjarunjung. Di sini kami diberi peluang menikmati teh bandrek @ teh halia yang disediakan daripada 7 jenis herba termasuk serai, kayu manis, bunga lawang dan gula melaka. Rasanya MasyaAllah memang sangat pekat dan memakan masa yang lama untuk diminum. Rasa halia akan hilang apabila dicampur dengan susu segar dan boleh diminum seperti biasa. Paling menarik, setiap cawan teh bandrek yang dipesan pada harga 15,000 Rupiah akan turut diberi percuma goreng pisang. Seronok pula makan goreng pisang yang masih panas. To’Ki turut membeli 2 kotak teh tersebut pada harga 90,000 Rupiah untuk dibawa pulang.

Lokasi seterusnya adalah air terjun Sipisopiso yang berasal daripada perkataan kaum Batak bermaksud pisau. Menurut mereka, bentuk air terjun tersebut adalah seperti pisau. Suhu di kawasan tersebut memang nyaman dan dilatari oleh sebuah kampung yang dipanggil Kampung Tongging. Jika diamati, kawasan pergunungan di sekitar kawasan air terjun tersebut adalah penuh dengan batu-batuan menyebabkan tidak banyak tanah yang diusahakan di sekitar kawasan tersebut. Yang ada hanyalah rumput-rumput yang memenuhi pergunungan dan mewujudkan hamparan pemandangan yang sungguh indah. Subhanallah!

Kami berpeluang untuk melihat sendiri keindahan air terjun tersebut dan hanya lafaz AllahuAkbar yang dapat dilafazkan untuk menggambarkan keajaiban kewujudan air terjun tersebut. Satu laluan disediakan kepada pengunjung yang ingin melihat air terjun tersebut dengan lebih dekat. Namun, oleh kerana laluan tersebut agak curam dan tidak sesuai untuk diredah bersama anak-anak kecil dan orang tua, kami hanya menikmati pemandangan tersebut daripada jauh sahaja.

Kami meneruskan perjalanan untuk singgah di ladang limau. Ternyata kawasan di situ amat subur dan dipenuhi dengan deretan pokok limau yang sudah ranum. Kami berhenti di salah sebuah kebun untuk menikmati sendiri buah limau yang dipetik dari kebun. Anak-anak kecil sudah tentulah orang yang paling seronok melihat buah-buah limau masak ranum di setiap pohon dan dapat memetiknya sendiri. Paling menarik, tiada bayaran dikenakan sekiranya buah yang dipetik dimakan di dalam kebun sebaliknya bayaran hanya dikenakan jika ingin dibawa pulang. Di sini, berlaku satu insiden yang cukup melucukan di mana ‘perang limau’ meletus antara kami. Mangsa paling teruk adalah AyahDe. Hahaha.

Selesai ‘perang limau’, kami meneruskan perjalanan ke pekan Berastagi. Ternyata cuaca di situ sungguh nyaman dan jauh lebih sejuk dari Cameron Highland. Kami terus dibawa untuk mendaftar masuk di Danau Toba International Cottage. Penginapan di sini berbentuk kotej dan bersebelahan antara satu sama lain. Ternyata harga yang dikenakan sungguh rendah (RM38) berbanding keadaan bilik yang diberikan. Petangnya sementara menunggu waktu makan malam, kami ambil peluang untuk mandi manda di kolam renang yang terletak tidak jauh dari bilik kami. Ada satu tragedi yang berlaku sewaktu kami mandi-manda tetapi sengaja kami diamkan kerana bimbang akan dimarahi oleh To’Ki huhu. Apakah tragedi yang dimaksudkan? Sila rujuk MakTeh untuk kisah selanjutnya.

Kami diminta bersiap pada jam 7.30 malam untuk makan malam di restoran hotel. Satu meja panjang disediakan untuk kami sekeluarga. Selesai makan malam, kami kembali ke bilik masing-masing untuk berehat. Oleh kerana waktu masih awal, AyahDe mengajak kami ke kedai runcit berdekatan untuk membeli sedikit barangan. Oleh kerana tempat itu agak asing bagi kami, Pak Untung mempelawa diri untuk membawa kami berjalan kaki ke kedai runcit berdekatan. Hanya kami berenam dan Pak Untung yang berjalan kaki ke situ dan perjalanan memakan masa hampir 20 minit juga. Pekan Berastagi memang sunyi pada waktu malam. Kebanyakan aktiviti hanya dijalankan pada waktu siang sahaja.

Kami kembali ke bilik untuk berehat sambil menikmati pelbagai siaran TV Indonesia yang menarik sebelum menempuh perjalanan seterusnya pada keesokan hari.

[Nota: Gambar penuh kembara dimuatkan di facebook]

No comments:

Post a Comment